SABAR, JUJUR, DAN CERDAS
========================
Assalamualaikum semua, apa khabar? Cikgu harap semua berada dalam keadaan sihat dan bersemangat. Hari ini cikgu nak berkongsi mengenai sikap Rasulullah SAW yang patut kita contohi dan lakukan dalam kehidupan seharian. Sebelum itu, mari sama-sama kita berselawat ke atas junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِّ الأُمِّيّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلم
Kenapa kita perlu perbanyakkan selawat ke atas Rasul junjungan? Ini adalah kerana, inshaa-Allah pada hari akhirat kelak kita akan mendapat syafaat daripada beliau, segala doa akan dimakbulkan oleh Allah SWT, mudah untuk mengingati semula perkara yang dilupakan, mendapat keberkatan daripada Allah dan sebagainya. Jadi perbanyakkan berselawat dan inshaa-Allah, kita akan sentiasa berada dalam rahmat-Nya.
Berbalik semula kepada tajuk kita, sikap pertama yang ada pada Rasulullah SAW adalah SABAR. Sabar ini mudah untuk kita ungkapkan tetapi belum tentu kita dapat lakukan kerana untuk bersabar ini memerlukan kesabaran yang tinggi jadi bagaimana untuk kita terapkan sikap SABAR ini dalam diri? Baik, cara untuk kita terapkan sikap SABAR dalam diri ialah dengan kita perlu berada dalam fasa yang bertenang dan berfikiran waras. Contohnya, yang kita dapat lihat apa yang ditunjukkan oleh baginda SAW adalah daripada perjuangan beliau dalam menyebarkan agama Islam. Sekalipun baginda SAW dihalau diserang dan dicemuh, beliau tidak pernah sekalipun membalas tindakan tersebut. Tetapi sebaliknya, beliau mendoakan yang terbaik untuk mereka yang telah melakukan kejahatan kepadanya.
Yang kedua pula adalah sikap JUJUR & AMANAH. Rasulullah SAW memiliki kejujuran yang layak menjadi teladan bagi seluruh umat Islam kerana beliau sangat jujur dan amanah, maka tidak hairan jika penduduk Mekah menggelar beliau sebagai ‘Al-Amin’. Dua perkara ini adalah kunci utama untuk menggapai apa sahaja yang kita inginkan kerana baginda SAW telah tunjukkan semasa beliau berdagang dan berdakwah, beliau melaksanakan amanahnya sebagai pesuruh Allah SWT dan mengatakan perkara yang benar dan jujur sahaja serta tiada satu pun dusta yang keluar daripada mulutnya. Kejujuran juga akan menjauhkan diri kita daripada pelbagai bahaya dan akan mendatangkan sikap tanggungjawab, menepati janji dan melaksanakan perintah-Nya.
Terakhir sekali adalah sikap CERDAS & BIJAKSANA. Baginda SAW terkenal dengan tubuh badan yang sasa dan cergas serta mempunyai akal fikiran yang tajam. Hal ini kerana, kita dapat lihat betapa sukarnya tugas beliau sebagai utusan Allah sehinggakan sikap cerdas dan kebijaksanaan ini wajib dimiliki oleh beliau. Dalam membuat keputusan, baginda SAW selalu berfikiran matang dan tidak terburu-buru dalam membuat keputusan supaya adil dan saksama. Jadi pastikan kita berada dalam keadaan yang bertenaga supaya hari kita dipenuhi dengan kebaikan.
Itu sahaja perkongsian daripada cikgu, semoga apa yang cikgu kongsikan ini dapat diambil dan dipraktikkan dalam seharian supaya kita dapat menjadi manusia yang sentiasa memperbaiki diri dan tidak leka dengan dunia.





