Jumaat, 27 September 2019

TIBA – TIBA SEORANG PELAJAR BANGUN LANTAS MENJERIT... ====================================== Semasa kelas pecutan Bahasa Inggeris, Cikgu Samad sedang mengajar pelajarnya cara menjawab soalan bahasa Inggeris (Pemahaman). Usai menjawab soalan, tibalah masa untuk sesi perbincangan. Apabila tiba pada soalan bahagian B, soalan ini memerlukan para pelajar untuk memberikan jawapan berdasarkan kreativiti dan pengetahuan masing – masing.

Cikgu Samad : Baik murid – murid, tiba kita pada soalan yang memerlukan kita untuk mengisi jawapan mengikut pemahaman kita. Okay, siapa nak jawab dulu?

Tiba – tiba seorang pelajar bangun lantas menjerit ,

(Ali) : Saya cikgu saya ! bagi saya jawab.

(Abu) : Cikgu, cikgu, bagi saya jawab ! bagi saya jawab.

(Ali) : Ala sibuk la kau Abu. aku nak jawab , kau pun nak jawab.

(Abu) : Ala biarlah. Jawapan kau bukan betul pun.

Cikgu Samad : Sudah jangan bergaduh. Ali angkat tangan dulu, jadi, bagi Ali yang jawab dulu yaa. (Cikgu Samad terus membaca soalan)

(Ali) : Jawapan dia okay cikgu. Bila orang tolong kita, kita cakap okay je cikgu.

Cikgu Samad : kurang tepat jawapan tu Ali, jawapan yang lebih tepat adalah thank you. bila seseorang tolong kita, kita kenalah cakap thank you.

(Ali) : yeke cikgu, sebab saya tengok ramai je orang cakap okay lepas orang lain tolong dia. dia tak cakap thank you pun. lepas dia cakap okay, terus dia main smartphone.

Cikgu Samad : tak betul tu, kita kena ucap thank you atau terima kasih lepas orang lain tolong kita.

tiba - tiba terdengar suara Abu ketawa.

(Abu) : hahahahaha. kan saya dah cakap, jawapan dia bukan betul pun. hahahaha. Padan muka salah.

Cikgu Samad : Abu, kenapa ketawakan Ali sampai macam tu. tak baik ketawakan macamtu.

(Abu) : Jawapan dia salah cikgu, saya ketawa lah. hahaha.

Cikgu Samad : Abu, Abu. tak baik ketawakan kesalahan orang. sekurang - kurangnya Ali berani mencuba walaupun salah. Abu nak tahu tak, dalam hidup kita ni, kita perlu berani mencuba walaupun jawapan kita berkemungkinan salah. mungkin kesalahan kita hari ini akan menjadi peringatan untuk kita di masa hadapan. Ketawakan kesalahan orang lain juga sebenarnya sifat yang tidak baik. jika kita ketawakan orang pada hari ini, mungkin di masa hadapan orang pula akan ketawakan kita.

(Abu) : saya minta maaf cikgu, Ali. saya tak patut ketawa tadi. saya janji lepas ni saya tak akan ketawakan kesalahan orang lagi.

Cikgu Samad: tidak mengapa Abu, moga kamu tidak mengulangi lagi perbuatan kamu ini.

kelas bersambung seperti biasa.

Seronok suasana kelas pecutan. Setiap pelajar berlumba-lumba untuk menjawab soalan. Keyakinan untuk cuba menjawab soalan meningkat selepas hadir kelas pecutan. Tetapi, suasana seronok juga ada batasan. Jangan sampai kita menyindir dan mentertawakan orang lain.


#AzzahraHomeTuition
#CreatingFutureTogether
#QualityAndFunLearning #Tuition #Selangor #KL #Selayang #Kepong #Gombak #SgBuloh #Rawang #Damansara

Khamis, 19 September 2019

CUTI SEKOLAH? JEREBU? NAK BUAT APA YE HARI INI?
==========================================
Assalamualaikum, adik-adik.
Cuti sekolah buat apa? Jangan seronok sangat! Musim jerebu ni bahaya, lagipun tak lama lagi adik-adik akan menghadapi peperiksaan. Cikgu nak kongsi beberapa langkah berjaga-jaga pada musim jerebu supaya kita semua sentiasa dalam keadaan selamat dan sihat.
1. Kurangkan aktiviti di luar rumah dan cuba berada di dalam bangunan tertutup. Jadi, adik-adik jangan pula gunakan kesempatan cuti sekolah kali ini untuk bermain di padang dan sebagainya.
2. Sekiranya perlu berada di luar rumah, gunakan penutup muka yang sesuai dan mengikut saranan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu penutup muka P100 atau N95.
3. Banyakkan minum air kosong tau. Ingat, sekurang-kurangnya 8 gelas setiap hari.
4. Setelah selesai aktiviti luar rumah, basuh tangan dan muka dengan air bersih serta sabun. Basuh bersih-bersih ye adik-adik.
5. Seterusnya, adik-adik pesan juga pada ayah sekiranya memandu gunakan penyaman udara serta pilih mod kitaran udara dalaman supaya kita bebas dari pencemaran udara.
Baiklah adik-adik, jom kita sama-sama jaga kesihatan diri. Sekiranya adik-adik rasa tidak selesa semasa bernafas, gatal-gatal pada tekak, mata dan kulit, segeralah mendapat rawatan di hospital.
Sekiranya adik-adik rasa perkongsian cikgu ini bermanfaat, like dan kongsikan (share) kepada rakan-rakan dan keluarga. Jom komen "Saya nak sihat" untuk tunjukkan adik-adik juga cakna dengan kesihatan.

Jumaat, 13 September 2019

BERSATU TEGUH, BERCERAI ROBOH

MALAYSIA TANAH TUMPAHNYA DARAHKU
================================

Assalamualaikum dan salam sejahtera …

Haaaa, tengah scroll FB ke ? stalk insta siapa tu?

Harini cikgu nak kongsikan sedikit tentang garis masa atau timeline sejarah penubuhan dan pembentukan Malaysia, Negara yang kita cintai.

Pada 27 Mei 1961, Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman telah mencadangkan penubuhan gagasan Malaysia dalam satu majlis makan tengah hari di Hotel Adelphi, Singapura. Akan tetapi, idea penubuhan Persekutuan Malaysia ini sudah lama wujud, iaitu sejak abad ke-19, cumanya usaha yang lebih serius dilakukan semasa Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri. Tujuan pembentukan Malaysia adalah seperti berikut :

i. Menjamin kedudukan politik yang lebih kuat dan disegani di rantau ini.
ii. Mewujudkan kerjasama dalam bidang ekonomi dan sosial.

Terdapat beberapa faktor yang mendorong penubuhan Persekutuan Malaysia. Antaranya adalah :-
i. Faktor politik
a. Keselamatan – ancaman Komunis merupakan satu masalah ketika itu. Oleh itu, penubuhan Malaysia diharap dapat menjadi benteng yang kuat bagi menghadapi ancaman Komunis
b. Kemerdekaan – penubuhan Malaysia akan mempercepat proses kemerdekaan Sabah, Sarawak, Singapura serta Brunei.
c. Dekolonisasi – pada mesyuarat PBB, timbul isu agar tanah jajahan dimerdekakan. Oleh itu, pihak British memberi kemerdekaan dan berharap agar pembentukan Malaysia dapat memberikan kestabilan politik di Asia Tenggara.

ii. Faktor ekonomi
a. Penubuhan Malaysia akan mewujudkan dan meluaskan pasaran tempatan disamping sektor perindustrian pertanian dapat dikembangkan
b. Kerjasama serantau dalam bidang ekonomi dapat dimanfaatkan oleh negeri – negeri anggota. Hal ini demikian kerana setiap negeri kaya dengan hasil bumi masing – masing.

iii. Faktor sosial
a. Faktor utama penubuhan Malaysia adalah untuk mengimbangi kadar pertumbuhan penduduk dalam kalangan negeri – negeri anggota.
b. Kemasukan Sabah, Sarawak, dan Brunei dapat mengimbangi jumlah penduduk Melayu dan bukan Melayu disamping dapat mewujudkan semangat setiakawan sesama negeri anggota.

Pada bulan Julai 1961, Jawatan kuasa Perunding Perpaduan Kaum (JPPK) telah ditubuhkan. Tujuan penubuhan adalah untuk :
i. Menerangkan kepada masyarakat mengenai gagasan Malaysia
ii. Mengumpulkan pandangan penduduk
iii. Menggalakkan kegiatan kearah pembentukan Malaysia

Kemudian pada Januari 1962, Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan dan disertai oleh tiga orang pegawai British iaitu Lord Cobbold, Sir Anthony Abell, dan Sir David Watherston dan dua orang rakyat tempatan iaitu Dato’ Wong Pow Nee dan Tan Sri Ghazali Shafie. Penubuhan Suruhanjaya Cobbold bertujuan untuk meninjau pendapat rakyat Sabah dan Sarawak tentang gagasan Malaysia. Hasil laporan Suruhanjaya Cobbold adalah seperti berikut:
i. Satu per tiga menyokong gagasan Malaysia tanpa syarat
ii. Satu per tiga menyokong dengan syarat, iaitu kepentingan mereka harus dilindungi
iii. Satu per tiga menginginkan kemerdekaan sebelum menyertai gagasan Malaysia

Jawatan kuasa Antara Kerajaan (JAK) telah ditubuhkan pada bulan Ogos 1962 dan dianggotai oleh wakil dari Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Britain. Jawatan kuasa ditubuhkan bagi membincangkan dengan lebih lanjut mengenai gagasan Malaysia. Hasil perbincangan telah bersetuju bahawa tarikh gagasan Malaysia dibentuk adalah pada 31 Ogos 1962. Walaubagaimanapun hasrat ini tidak tercapai kerana ada tentangan daripada Indonesia dan Filipina. Bagi meredakan ketegangan. Sidang kemuncak antara ketua – ketua kerajaan Malaysia, Indonesia, dan Filipina telah diadakan. Hasil pertemuan tersebut, mereka telah bersetuju untuk meminta bantuan Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyelesaikan masalah ini.

PBB telah menghantar wakil mereka bagi meninjau sekali lagi pendapat rakyat Sabah dan Sarawak. Hasil tinjauan mendapati bahawa rakyat Sabah dan Sarawak lebih cenderung untuk menyertai gagasan Malaysia berbanding Indonesia dan Filipina. Walaubagaimanapun, tarikh pembentukan Malaysia terpaksa ditunda kepada 16 September 1963 kerana laporan PBB tidak dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan disamping penentangan yang berterusan daripada Indonesia dan Filipina.

Akhirnya, pada tanggal 16 September 1963, penubuhan negara Malaysia yang merangkumi Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, dan Sarawak telah berjaya dibentuk dengan rasmi.

Begitulah kisah penubuhan dan pembentukan gagasan Malaysia. Diharapkan adik – adik dapat mempelajari dan menghayati sejarah negara kita agar semangat patriotisme dapat disemai dalam jiwa dan sanubari adik – adik. Daripada pembentukan negara Malaysia ini dapat kita pelajari bahawa semangat bersatu padu amat penting dalam membina sebuah negara yang harmoni. Bak kata pepatah, "bersatu teguh bercerai roboh". Oleh itu, kita perlulah berusaha dan bersatu hati supaya keamanan yang dikecapi selama ini dapat dikekalkan untuk menjamin kehidupan yang harmoni di masa yang akan datang.

#AzzahraHomeTuition
#CreatingFutureTogether
#QualityAndFunLearning
#Tuition
#Selangor #KL
#Selayang #Kepong #Gombak #SgBuloh #Rawang #Damansara
SELANGKAH SEBELUM MERDEKA
=====================
Assalamualaikum, adik-adik. Wah, tengah semangat Merdeka ke? Sambut merdeka kat mana?
Adik-adik tahu tak kisah di sebalik kemerdekaan negara kita? Jom dengar cikgu nak kongsi cerita!
Pada Febuari 1956, Tunku Abdul Rahman telah mengetuai rombongan rundingan kemerdekaan ke London. Rombongan disertai oleh Dr Ismail, Dato abdul Razak Hussein, Kolonel H.S. Lee dan 4 org wakil Sultan iaitu Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmed kamil, Encik Abdul Aziz Majid dan Dato Mohd Seth. Masa inilah tokoh-tokoh terkenal ni berbincang dengan wakil British untuk menuntut kemerdekaan. Hebat kan diaorang?
Hasil rundingan tersebut membawa kepada pembentukan suruhanjaya bebas untuk mengkaji perlembagaan serta persetujuan British untuk memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu pada tanggal 31 Ogos 1957. Tunku Abdul Rahman telah mengumumkan tarikh pengisytiharan kemerdekaan di Bandar Hilir, Melaka. Seluruh rakyat rasa gembira sangat dengan pengisytiharan tersebut.
Kemudian, Suruhanjaya Reid telah ditubuhkan pada Mac 1956 bertujuan untuk membincang serta menyusun Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Suruhanjaya tersebut diketuai oleh Lord Reid, Sir Ivor Jenning, Sir William Mac Kell, Tuan B. S. Malik, dan Tuan Abdul Hamid. Isu yang menjadi panduan Suruhanjaya Reid termasuklah kedudukan raja - raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, pemberian kuasa autonomi kepada negeri dalam bidang tertentu, dan pewujudan satu bangsa Persekutuan Tanah Melayu.
Akhirnya, pada tanggal 31 ogos 1957, bergema suara Tunku Abdul Rahman melaungkan kemerdekaan yang menandakan Tanah Mealyu bebas dari penjajah. Adik-adik rasa bangga tak jadi rakyat Malaysia. Kita sebagai rakyat perlu ambil iktibar dari sejarah kemerdekaan negara kita, supaya negara kita kekal merdeka.
Jadi, adik-adik perlu belajar sehingga pandai untuk jadi wira negara seperti tokoh-tokoh terkenal. Adik-adik, untuk tunjukkan semangat Merdeka negara Malaysia, jom kita komen "Merdeka". Nanti cikgu sambung cerita tentang pembentukan negara Malaysia pula.
DAH NAK MASUK DEWAN PEPERIKSAAN?
=============================
Assalamualaikum, adik-adik.
Esok dah mula Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Mesti adik-adik dah bersediakan? Malam ini masih sempat buat ulangkaji yang terakhir. Lagi satu, adik-adik jangan lupa berserah diri (tawakal) pada ALLAH, banyakkan doa. Semoga urusan adik-adik menjawab soalan peperiksaan dimudahkan oleh ALLAH dan semoga mendapat kejayaan atas usaha adik-adik selama ini.
Akhir sekali cikgu nak pesan pada adik-adik, sebelum masuk peperiksaan ingat beberapa perkara ini;
1. Adik-adik perlu tidur awal supaya dapat bangun awal pada keesokan hari dan lakukan juga solat hajat. Minta pertolongan daripada ALLAH supaya tidak dilupakan segala ilmu dan diberikan ilham yang mencurah ketika dalam peperiksaan tapi ‘study’ jangan lupa. Buat reveiw untuk kali terakhir nota ringkas dan latihan yang telah disemak oleh guru (adik-adik jangan buat latihan pula di pagi hari peperiksaan). Sebelum pergi ke dewan peperiksaan, jangan lupa sarapan dahulu. Ingat, makan makanan berkhasiat sebagai sarapan.
2. Segala kelengkapan penting seperti alat tulis (2 batang pensil yang tajam, pemadam dan pembaris) serta kad pengenalan (MyKad atau MyKid atau borang pengenalan diri calon) jangan lupa sediakan sehari lebih awal, supaya tidak fikir lagi di pagi peperiksaan.
3. Ibu bapa digalakkan memberi kata-kata semangat dan motivasi di awal hari kepada anak-anak. Mereka perlukan kita sebelum peperiksaan (jangan marah mereka pula pagi-pagi ini).
4. Semasa masuk dewan peperiksaan bacalah doa terlebih dahulu dan melangkah masuk ke dewan dengan kaki kanan. Adik-adik duduklah di tempat sendiri dengan tenang.
5. Pilih soalan mudah terlebih dahulu supaya tidak membazir masa dalam menjawab soalan yang susah dan perbanyakkan selawat jika terlupa.
Musim panas musim hujan,
Sentiasa peka dan beringat,
Jangan meniru dalam ujian,
Percaya diri penuh semangat.
Tunggu adik seberang jalan,
Singgah kedai membeli arang,
Teliti membaca setiap soalan,
Jawapan ditulis dengan terang.
SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN UPSR 2019 & SEMOGA BERJAYA
OKlah adik-adik, sampai disini sahaja perkongsian cikgu. Jom KLIK LIKE & SHARE untuk perkongsian semua.
Jom komen “SAYA DAH SEDIA”, supaya adik-adik lebih bersemangat untuk hadapi peperiksaan. Insya Allah cikgu akan post setiap minggu kalau ramai yang suka dengan perkongsian cikgu.