MALAYSIA TANAH TUMPAHNYA DARAHKU
==========================
Assalamualaikum dan salam sejahtera …
Haaaa, tengah scroll FB ke ? stalk insta siapa tu?
Harini cikgu nak kongsikan sedikit tentang garis masa atau timeline sejarah penubuhan dan pembentukan Malaysia, Negara yang kita cintai.
Pada 27 Mei 1961, Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman telah mencadangkan penubuhan gagasan Malaysia dalam satu majlis makan tengah hari di Hotel Adelphi, Singapura. Akan tetapi, idea penubuhan Persekutuan Malaysia ini sudah lama wujud, iaitu sejak abad ke-19, cumanya usaha yang lebih serius dilakukan semasa Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri. Tujuan pembentukan Malaysia adalah seperti berikut :
i. Menjamin kedudukan politik yang lebih kuat dan disegani di rantau ini.
ii. Mewujudkan kerjasama dalam bidang ekonomi dan sosial.
Terdapat beberapa faktor yang mendorong penubuhan Persekutuan Malaysia. Antaranya adalah :-
i. Faktor politik
a. Keselamatan – ancaman Komunis merupakan satu masalah ketika itu. Oleh itu, penubuhan Malaysia diharap dapat menjadi benteng yang kuat bagi menghadapi ancaman Komunis
b. Kemerdekaan – penubuhan Malaysia akan mempercepat proses kemerdekaan Sabah, Sarawak, Singapura serta Brunei.
c. Dekolonisasi – pada mesyuarat PBB, timbul isu agar tanah jajahan dimerdekakan. Oleh itu, pihak British memberi kemerdekaan dan berharap agar pembentukan Malaysia dapat memberikan kestabilan politik di Asia Tenggara.
ii. Faktor ekonomi
a. Penubuhan Malaysia akan mewujudkan dan meluaskan pasaran tempatan disamping sektor perindustrian pertanian dapat dikembangkan
b. Kerjasama serantau dalam bidang ekonomi dapat dimanfaatkan oleh negeri – negeri anggota. Hal ini demikian kerana setiap negeri kaya dengan hasil bumi masing – masing.
iii. Faktor sosial
a. Faktor utama penubuhan Malaysia adalah untuk mengimbangi kadar pertumbuhan penduduk dalam kalangan negeri – negeri anggota.
b. Kemasukan Sabah, Sarawak, dan Brunei dapat mengimbangi jumlah penduduk Melayu dan bukan Melayu disamping dapat mewujudkan semangat setiakawan sesama negeri anggota.
Pada bulan Julai 1961, Jawatan kuasa Perunding Perpaduan Kaum (JPPK) telah ditubuhkan. Tujuan penubuhan adalah untuk :
i. Menerangkan kepada masyarakat mengenai gagasan Malaysia
ii. Mengumpulkan pandangan penduduk
iii. Menggalakkan kegiatan kearah pembentukan Malaysia
Kemudian pada Januari 1962, Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan dan disertai oleh tiga orang pegawai British iaitu Lord Cobbold, Sir Anthony Abell, dan Sir David Watherston dan dua orang rakyat tempatan iaitu Dato’ Wong Pow Nee dan Tan Sri Ghazali Shafie. Penubuhan Suruhanjaya Cobbold bertujuan untuk meninjau pendapat rakyat Sabah dan Sarawak tentang gagasan Malaysia. Hasil laporan Suruhanjaya Cobbold adalah seperti berikut:
i. Satu per tiga menyokong gagasan Malaysia tanpa syarat
ii. Satu per tiga menyokong dengan syarat, iaitu kepentingan mereka harus dilindungi
iii. Satu per tiga menginginkan kemerdekaan sebelum menyertai gagasan Malaysia
Jawatan kuasa Antara Kerajaan (JAK) telah ditubuhkan pada bulan Ogos 1962 dan dianggotai oleh wakil dari Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Britain. Jawatan kuasa ditubuhkan bagi membincangkan dengan lebih lanjut mengenai gagasan Malaysia. Hasil perbincangan telah bersetuju bahawa tarikh gagasan Malaysia dibentuk adalah pada 31 Ogos 1962. Walaubagaimanapun hasrat ini tidak tercapai kerana ada tentangan daripada Indonesia dan Filipina. Bagi meredakan ketegangan. Sidang kemuncak antara ketua – ketua kerajaan Malaysia, Indonesia, dan Filipina telah diadakan. Hasil pertemuan tersebut, mereka telah bersetuju untuk meminta bantuan Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyelesaikan masalah ini.
PBB telah menghantar wakil mereka bagi meninjau sekali lagi pendapat rakyat Sabah dan Sarawak. Hasil tinjauan mendapati bahawa rakyat Sabah dan Sarawak lebih cenderung untuk menyertai gagasan Malaysia berbanding Indonesia dan Filipina. Walaubagaimanapun, tarikh pembentukan Malaysia terpaksa ditunda kepada 16 September 1963 kerana laporan PBB tidak dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan disamping penentangan yang berterusan daripada Indonesia dan Filipina.
Akhirnya, pada tanggal 16 September 1963, penubuhan negara Malaysia yang merangkumi Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, dan Sarawak telah berjaya dibentuk dengan rasmi.
Begitulah kisah penubuhan dan pembentukan gagasan Malaysia. Diharapkan adik – adik dapat mempelajari dan menghayati sejarah negara kita agar semangat patriotisme dapat disemai dalam jiwa dan sanubari adik – adik. Daripada pembentukan negara Malaysia ini dapat kita pelajari bahawa semangat bersatu padu amat penting dalam membina sebuah negara yang harmoni. Bak kata pepatah, "bersatu teguh bercerai roboh". Oleh itu, kita perlulah berusaha dan bersatu hati supaya keamanan yang dikecapi selama ini dapat dikekalkan untuk menjamin kehidupan yang harmoni di masa yang akan datang.
#AzzahraHomeTuition
#CreatingFutureTogether
#QualityAndFunLearning
#Tuition
#Selangor #KL
#Selayang #Kepong #Gombak #SgBuloh #Rawang #Damansara

Tiada ulasan:
Catat Ulasan